RIYADH, 10 Julai – Penjaring terbanyak Serie A musim 2024-25, Mateo Retegui bakal menyertai kelab Liga Pro Saudi, Al-Qadsiah, selepas persetujuan perpindahan dicapai bersama Atalanta.
Menurut laporan media antarabangsa, penyerang antarabangsa Itali kelahiran Argentina berusia 26 tahun itu akan berhijrah ke Arab Saudi dengan yuran perpindahan dianggarkan mencecah €67 juta (RM343 juta), termasuk bayaran tambahan bergantung kepada prestasi.
Retegui, yang meledak 25 gol liga untuk dinobatkan sebagai capocannoniere musim ini, dijangka menjadi satu lagi nama besar yang menyertai gelombang kemasukan bintang Eropah ke Asia Barat.
Beliau akan menyertai barisan bekas pemain ternama seperti Pierre-Emerick Aubameyang, Nacho Fernandez dan Koen Casteels di bawah bimbingan ketua jurulatih Michel, bekas pemain tengah Real Madrid.
Al-Qadsiah, yang berpangkalan di Khobar, muncul antara pasukan mencuri tumpuan musim lalu apabila menamatkan saingan di tangga keempat liga walaupun baru dinaikkan pangkat ke saingan tertinggi Saudi.
Ketika ini, skuad itu beraksi di Dammam sementara menantikan siapnya Stadium Aramco yang bakal menjadi salah satu venue Piala Dunia 2034.-REUTERS