fb fb fb fb fb

Messi terus garang, dua gol bantu Miami atasi New England 2-1

Foto AFP

FOXBOROUGH, 10 Julai - Lionel Messi terus mempamerkan sentuhan berbisa apabila menjaringkan dua gol dalam separuh masa pertama untuk membantu Inter Miami mencatat kemenangan 2-1 ke atas New England Revolution dalam aksi Major League Soccer (MLS), awal pagi tadi.

Bintang Argentina berusia 38 tahun itu kini mencipta sejarah sebagai pemain pertama MLS yang menjaringkan dua gol dalam empat perlawanan berturut-turut.

Messi memulakan rentak cemerlang itu pada hujung Mei dengan dua gol dalam kemenangan 4-2 ke atas Montreal, sebelum mengulangi pencapaian sama dalam kemenangan 5-1 ke atas Columbus.

Miami berehat seketika daripada saingan liga untuk menyertai Piala Dunia Kelab, di mana mereka tersingkir di pusingan 16 oleh Paris Saint-Germain.

Messi hanya menjaringkan satu gol dalam empat perlawanan kejohanan tersebut.

Bagaimanapun, mereka kembali garang dalam saingan liga apabila menewaskan Montreal 4-1 pada Sabtu lalu – turut disumbangkan dua gol oleh Messi, pemenang Ballon d'Or lapan kali.

Kini, Messi telah menjaringkan 14 gol dalam 15 aksi MLS – hanya dua gol di belakang penjaring terbanyak, Sam Surridge dari Nashville, yang telah bermain enam perlawanan lebih banyak.

1007 PORTAL SKN LNR MESSI MIAMI 2 Lionel Messi / Foto AFP

“Sudah tentu, Leo adalah pemain luar biasa. Bagi saya, dia pemain terbaik sepanjang zaman,” kata ketua jurulatih Javier Mascherano. “Luar biasa bagaimana dia terus mencipta magis walaupun di usia ini.”

Dalam perlawanan di Stadium Gillette, Messi meletakkan Miami di depan pada minit ke-27 selepas memanfaatkan kesilapan pertahanan lawan.

Beliau menggandakan jaringan 11 minit kemudian hasil gerakan cantik bersama Sergio Busquets, sebelum melepaskan sepakan melengkung yang menewaskan penjaga gol Slovenia, Aljaz Ivacic.

Mascherano turut memuji persefahaman lama Messi dan Busquets sejak zaman mereka di Barcelona.

“Mereka saling faham hanya dengan satu pandangan. Busquets tahu bila dan di mana Leo mahukan bola. Ia kelebihan besar buat pasukan kami,” katanya.

Penjaga gol veteran Oscar Ustari turut menyerlah dengan enam pertahanan cemerlang sebelum Carles Gil menjaringkan gol sagu hati buat tuan rumah pada minit ke-79.

Kemenangan tersebut melonjakkan Inter Miami dari tangga keenam ke kelima dalam carta Persidangan Timur dengan 35 mata – tujuh mata di belakang pendahulu, FC Cincinnati – namun mereka masih mempunyai tiga perlawanan dalam tangan.

Miami dijadualkan menentang Nashville pada Sabtu ini, dalam siri tiga perlawanan padat dalam tempoh 10 hari.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN