SHAH ALAM, 3 Julai - Presiden Kehormat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin terus dikenang sebagai tokoh terbilang dalam landskap bola sepak tanah air.
Sumbangan besar beliau dalam pembangunan bola sepak Malaysia, termasuk memperkasakan peranan institusi pengajian tinggi dalam ekosistem sukan negara diberi penghargaan pada Majlis Anugerah Sukan Universiti Teknologi MARA (UiTM) 2024.
Beliau menerima Anugerah Jasamu Dikenang dalam majlis yang diadakan di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM, Shah Alam, malam tadi.
Tan Sri Hamidin (dua kiri) turut bergambar bersama Olahragawan dan Olahragawati UiTM - Foto Pusat Sukan UiTM
"Tan Sri Hamidin yang juga Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dilihat sebagai figura utama yang meletakkan asas kukuh untuk kemajuan sukan nombor satu negara.
“Kemuncak kepimpinannya terserlah apabila beliau dipilih sebagai Presiden FAM ketujuh pada tahun 2018,” menurut kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebook FAM, hari ini.
Menurut FAM, UiTM menjadi antara institusi yang menerima limpahan manfaat daripada visi dan kepimpinan Tan Sri Hamidin.
Antara sumbangan signifikan beliau termasuklah pengiktirafan UiTM sebagai Pusat Kecemerlangan Bola Sepak pada tahun 2010.
Jasa Tan Sri Hamidin kepada bola sepak tanah air terus diberi penghargaan - Foto Pusat Sukan UiTM
"Beliau turut memainkan peranan penting dalam penubuhan Akademi Bola Sepak Negara KPT-UiTM-FAM, pelantikan panel penasihat sukan universiti serta pelaksanaan pelbagai kursus kejurulatihan, pengurusan sijil bola sepak dan program pembangunan bola sepak peringkat IPT menerusi kerjasama strategik antara FAM dan UiTM.
"Pasukan bola sepak UiTM FC sendiri menyaksikan kemajuan luar biasa, bermula dari penyertaan dalam Liga FAM, seterusnya Liga Perdana dan kemudiannya beraksi di pentas Liga Super Malaysia," menurut kenyataan itu lagi.
Menurut FAM, walaupun Tan Sri Hamidin telah mengundurkan diri sebagai Presiden FAM, sumbangan beliau tidak terhenti malah menjadi simbol legasi seorang pemimpin berwibawa yang membina laluan jelas untuk masa depan bola sepak negara.