SHAH ALAM, 3 Julai - Atlet memanah wanita negara, Nurul Azreena Mohamad Fazil yang dinobat sebagai Olahragawati Universiti Teknologi Mara (UiTM) 2024, kini giat membuat persediaan bagi dua temasya sukan terbesar.
Atlet kelahiran Selangor itu bakal bertanding di Sukan SEA Thailand 2025 Disember ini dan Sukan Asia di Jepun pada September 2026.
Nurul Azreena dinobat sebagai Olahragawati UiTM 2024 pada Majlis Anugerah Sukan UiTM - Foto Pusat Sukan UiTM
"Buat masa sekarang kami ada beberapa kejohanan dan latihan di luar negara.
"Insya-Allah ini akan membantu untuk persiapan dalam Sukan SEA dan Sukan Asia nanti," katanya ketika ditemui di Majlis Anugerah Sukan UiTM, di sini malam tadi.
Menurutnya, ketua jurulatih memanah negara yang baharu, Kim Jae Rack juga banyak membantu meningkatkan prestasinya dari segi kemahiran memanahnya.
"Dari segi mental juga semakin baik..sebab bukannya mudah, namun hasil latihan dan apa yang kami lakukan mampu bantu untuk hadapi cabaran mendatang," katanya.
Menurutnya, selain persediaan fizikal dan stamina, dia turut mendapat bantuan psikologi daripada Institut Sukan Negara (ISN).
Nurul Azreena dinobatkan sebagai Olahragawati UiTM susulan pencapaian cemerlangnya pada 2024 termasuk bersaing di temasya Sukan Olimpik Paris.