KUALA LUMPUR, 18 Mei – Malaysia mengesahkan slot ke pentas akhir acara regu berpasukan Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 selepas menundukkan India 2-0 dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, di sini, hari ini.
Kemenangan itu sekali gus membakar semangat skuad negara untuk menamatkan kemarau kejuaraan berpasukan selama 34 tahun, dengan seteru utama Thailand menanti di perlawanan akhir yang dijadual berlangsung petang ini.
Thailand turut mara ke final selepas menewaskan Korea Selatan dengan keputusan 2-0.
Dalam pertemuan menentang India, regu pertama negara yang dibarisi Mohamad Syahir Modh Rosdi, Mohamad Azlan Alias dan Amirul Zazwan Amir mempamerkan aksi meyakinkan apabila mencatat kemenangan 15-8, 15-6.
Momentum kemenangan itu diteruskan oleh regu kedua yang terdiri daripada Muhammad Haziq Hairul Nizam, Muhammad Noraizat Mohd Nordin dan Muhammad Afifuddin Mohd Razali, yang menamatkan perlawanan dengan keputusan 15-8, 15-5.
Sebelum ini, Malaysia turut meraih kejayaan berganda apabila muncul juara dalam acara kuadran dan regu pada edisi sulung kejohanan tersebut.
Kali terakhir Malaysia menjuarai acara berpasukan adalah pada Sukan SEA Manila 1991, menjadikan perlawanan akhir menentang Thailand kali ini misi bersejarah untuk mengakhiri penantian lebih tiga dekad.