KUALA LUMPUR, 18 Mei - Pemain badminton perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao tetap akan menyertai Kejohanan Master Malaysia 2025 meskipun kecederaan yang dialami di tangan kanan belum pulih sepenuhnya.
Atlet berusia 25 tahun itu berkata setakat ini pemulihan menunjukkan perkembangan baik namun hanya boleh menentukan tahap permainan ketika perlawanan sebenar pada kejohanan yang akan berlangsung di Axiata Arena itu kelak.
Atlet kelahiran Kuala Lumpur itu sebelum ini mengalami kecederaan ketika membawa cabaran negara di Piala Sudirman di China pada April lepas.
Susulan kecederaan itu, beliau terpaksa menarik diri daripada kejohanan Terbuka Thailand yang berlangsung sejak minggu lepas. - BERNAMA