KUALA LUMPUR, 18 Mei - Pemain badminton beregu lelaki negara, Tee Kai Wun enggan mengambil mudah meskipun dijadual bertemu pasangan yang berada pada ranking lebih rendah dalam Malaysia Masters 2025 yang bakal membuka tirai Selasa ini.
Atlet berusia 25 tahun itu berkata beliau dan pasangannya, Man Wei Chong mengambil iktibar daripada aksi di Terbuka Thailand selepas dikejutkan oleh gandingan bukan pilihan dari Denmark William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer 21-15, 19-21, 18-21 pada pusingan kedua minggu lepas.
Kai Wun berkata kedudukan dunia kini bukanlah kayu pengukur mutlak untuk menilai kekuatan pencabar dalam kejohanan antarabangsa, sebaliknya perlu berhati-hati dalam setiap perlawanan yang mereka harungi.
Pada pusingan pertama Malaysia Masters, Wei Chong-Kai Wun yang menjadi pilihan kelima kejohanan dijadual bertemu pasangan bukan pilihan dari Denmark Andreas Sondergaard-Jesper Toft. - BERNAMA