THAILAND, 18 MEI - Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah melakar kemenangan bersejarah apabila muncul beregu wanita pertama Malaysia menjuarai Terbuka Thailand sejak ia diperkenalkan pada 1984.
Pasangan nombor empat dunia itu menewaskan gandingan Korea Selatan, Jeung Na Eun-Lee Yeon Woo 21-16, 21-17 pada aksi akhir yang berlangsung di Stadium Nimibutr, hari ini.
Pearly-Thinaah menampilkan aksi penuh bertenaga untuk mengesahkan kejuaraan dalam tempoh 58 minit.
Ini merupakan kemenangan kedua mereka dalam dua pertemuan berdepan Na Eun-Yeon Woo yang menghuni ranking ke-105 dunia.
Kemenangan bersejarah itu turut menamatkan kemarau kejuaraan harapan negara sejak kali terakhir menjuarai Terbuka Hong Kong pada September tahun lalu.
Sebagai juara, Pearly-Thinaah membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$37,525 (RM161,191).
Pearly-Thinaah akan meneruskan saingan seterusnya di Malaysia Masters yang dijadualkan berlangsung pada 20 hingga 25 Mei di Axiata Arena.
Mereka dijadualkan bertemu pasangan Hong Kong, Fan Ka Yan-Yau Mau Ying pada pusingan pertama.