THAILAND, 18 Mei– Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik dinobatkan sebagai juara selepas menundukkan wakil Denmark, William Kryger Boe dan Christian Faust Kjaer pada perlawanan akhir di Stadium Nimibutr, Bangkok, di sini hari ini.
Bagaimanapun, gandingan ranking ke-5 dunia itu terpaksa bermandi peluh setelah mengharungi perlawanan selama tempoh sejam, sebelum melengkapkan kemenangan.
Turun selaku pilihan kelima dunia, Aaron-Wooi Yik bermula agak goyah apabila tewas 20-22 di set pertama.
Namun gandingan itu berjaya bangkit memperkemaskan corak perlawanan untuk memenangi dua set berikutnya 21-17 dan 21-12.
Sebagai juara, Aaron-Wooi Yik membawa pulang hadiah wang tunai bernilai AS$37,525 (161 ribu 191 ringgit).
Gelaran itu merupakan kejuaraan kedua mereka musim ini selepas menjuarai Kejohanan Badminton Asia 2025 di Ningbo, China bulan lalu.
Menerusi Jelajah Dunia BWF pula, ia menjadi gelaran ketiga mereka secara keseluruhan, selepas mencatat kemenangan di Terbuka Denmark 2023 dan Masters Korea 2024.
Dengan kejayaan itu, Malaysia menamatkan kempen Terbuka Thailand 2025 dengan penuh bergaya apabila meraih gelaran juara berganda dalam acara beregu lelaki dan wanita.
Terdahulu, beregu wanita negara, Pearly Tan dan M. Thinaah mencatat sejarah tersendiri apabila muncul beregu wanita pertama Malaysia menjuarai Terbuka Thailand.