fb fb fb fb fb

Hakim Danish tekad kekalkan prestasi cemerlang musim ini

Foto FB Hakim Danish

 SEPANG, 18 Mei– Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli meluahkan rasa bangga apabila berjaya mempamerkan prestasi cemerlang pada Kejuaraan Dunia Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBRC) 2025 di Perancis, baru-baru ini.

Pelumba berusia 17 tahun itu juga tidak menyangka mampu menamatkan semua perlumbaan atas podium, apatah lagi bersaing sengit dengan barisan pelumba muda terbaik dunia.

"Saya tak sangka mendapat tempat kedua keseluruhan tapi apapun syukur Alhamdulillah saya berjaya menamatkannya di podium," katanya ketika ditemui media sebaik tiba di lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.

Beraksi pada salah satu kejohanan paling berprestij di dunia, Hakim Danish menegaskan aspek latihan dan perlumbaan adalah penting dalam usahanya mengekalkan prestasi konsisten musim ini.

"Semestinya kedua-duanya penting bagi saya dan sudah tentu saya akan beri 100 peratus komitmen.

"Setiap tahun saya mahu perbaiki di setiap perlumbaan. Saya banyak belajar daripada perlumbaan tahun-tahun lepas dan akan buat yang terbaik untuk perlumbaan seterusnya," ujarnya.

Setakat ini, Hakim telah meraih podium secara konsisten, namun beliau enggan terlalu selesa memandangkan masih berbaki 10 perlumbaan dalam kalendar musim 2025.

"Kita ada 10 perlumbaan lagi jadi saya cuba kekalkan momentum untuk meraih sebanyak mungkin podium. Saya juga sasar untuk berada dalam kelompok lima terbaik," katanya.

Hakim menyifatkan Brian Uriarte dan Veda Pratama sebagai antara pencabar terkuat, namun tetap yakin dengan keupayaan diri sendiri.

"Bagi saya, pembakar semangat saya adalah fokus dengan diri sendiri. Saya fokus pada latihan dan cuba bagi yang terbaik dalam perlumbaan," katanya.

Dengan semangat juang tinggi dan disiplin luar biasa, ramai percaya Hakim Danish berpotensi besar untuk terus mencipta nama, bukan sahaja dalam RBRC, malah di pentas MotoGP satu hari nanti.

NIK MOHD HAFIZUL BAHARUDDIN

Hello