GOMBAK, 18 Mei- Seramai 68 peserta dari empat kampus utama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengambil bahagian dalam program tahunan Sukan Anak-Anak Sabah 2025 yang melabuhkan tirainya hari ini.
Majlis penutupan program dirasmikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan di UIAM Gombak.
Beliau meluahkan rasa bangga terhadap komitmen dan semangat luar biasa yang ditunjukkan oleh mahasiswa-mahasiswi Sabah di universiti berkenaan.
“Saya sendiri berasa amat bangga apabila pihak universiti, khususnya pengarah hal ehwal pelajar menyatakan bahawa persatuan anak-anak Sabah adalah antara persatuan paling aktif di UIAM. Inilah yang harus kita kekalkan dan tingkatkan.
"Kita harap mereka semua berjaya di UIAM, seterusnya dapat menyumbang kepada kejayaan serta kemajuan Sabah pada satu hari nanti kerana anak-anak muda hari ini adalah pewaris yang kita boleh sandarkan harapan,” katanya.
Datuk Nizam turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program ini terutama barisan penganjur yang diketuai oleh Ikatan Anak-anak Sabah (IKAS) kampus Gombak.
Sukan Anak-Anak Sabah adalah platform untuk menonjolkan bakat mereka dalam acara seperti futsal, badminton, bola tampar dan bola jaring.
Pemenang bagi acara dipertandingkan membawa pulang trofi manakala semua peserta memperoleh sijil penyertaan.