KUALA LUMPUR, 18 Mei – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke majlis Sports Flame yang menghimpunkan bekas atlet kebangsaan dalam usaha mengiktiraf legasi dan sumbangan tokoh sukan tanah air.
Majlis yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di ibu negara itu meraikan seramai 160 ikon sukan negara yang pernah mewakili Malaysia dari era 1960-an hingga 1980-an, termasuk nama-nama besar seperti Datuk Santokh Singh, Datuk James Selvaraj, Noraseela Khalid dan Kevin Nunis.
Keberangkatan Sultan Abdullah menyerikan majlis berkenaan apabila baginda berkenan beramah mesra dan bergambar bersama para hadirin semasa majlis minum petang.
Baginda turut menyampaikan plak penghargaan kepada wakil keluarga mendiang R. Velu yang antara pengasas Sports Flame dan tokoh penting kewartawanan sukan tanah air.
Dalam majlis berkenaan juga, pasukan hoki kebangsaan 1975 turut menerima penghargaan khas atas pencapaian menduduki tempat keempat pada Piala Dunia Hoki 1975 yang berlangsung di Kuala Lumpur.
Pencapaian itu merupakan satu pencapaian terbaik negara di pentas dunia hingga kini.
Kemunculan secara mengejut legenda bola sepak Manchester United, Ryan Giggs, dan menghadiahkan jersi kelab bertandatangan kepada Sultan Abdullah mencuri tumpuan pada majlis tersebut.
Sports Flame mula diperkenalkan pada tahun 2011 hasil inisiatif empat bekas wartawan sukan tanah air, Datuk Lazarus Rokk, George Das, Datuk Fauzi Omar dan mendiang R. Velu.
Edisi kali ini direalisasikan dengan komitmen agensi perhubungan awam dan penjenamaan sukan terkemuka, ShekhinahPR.