fb fb fb fb fb

Takraw negara ada potensi besar, prestasi membanggakan

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh

PUTRAJAYA, 19 Mei - Pasukan sepak takraw negara mempunyai potensi yang besar dalam merampas gelaran juara bagi acara regu berpasukan dalam Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia akan datang.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyatakan keyakinan itu setelah melihat sendiri prestasi membanggakan skuad itu ketika hadir sendiri ke Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, semalam untuk menyaksikan kejohanan tersebut.

"Saya rasa ini pencapaian yang membanggakan. Kalau kita lihat permainan mereka, walaupun mereka kalah dua set tetapi pada set pertama markah mereka sangat dekat dengan pasukan pihak lawan. Jadi, saya tahu pasukan kita sudah melakukan yang terbaik, saya pasti mereka akan membuat penambaikan dan cuba sedaya upaya lagi," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Kerjasama Strategik antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), di sini.

Dalam pada itu, beliau turut menghargai usaha Persatuan Sepak Takraw (PSM) yang berjaya melaksanakan pelbagai program bagi mencungkil bakat baharu dalam sukan sepak takraw negara.

Semalam, pada aksi final Piala Asia 2025, Malaysia meraih kedudukan naib juara bagi acara regu berpasukan selepas tewas 0-2 kepada Thailand.

Regu pertama negara Amirul Zazwan Amir (apit kiri), Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong) dan Mohamad Azlan Alias (apit kanan) kalah 11-15 pada set pertama, tetapi bangkit 15-12 sebelum kecundang 15-17.

Regu kedua yang dianggotai Farhan Adam, Muhammad Haziq Hairul Nizam dan Muhammad Noraizat Mohd Nordin pula sekadar menang set pertama 15-13, sebelum dikecewakan 13-15 dan 4-15 oleh trio Thailand Sittipong Kamchan, Tanaphon Sapyen dan Sirisak Anuloon.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE