KUALA LUMPUR, 19 Mei - Selepas meraih kejuaraan dalam Terbuka Thailand 2025, gandingan beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah, tidak mahu terlalu selesa dan mahu memberi tumpuan penuh kepada Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2025.
Menurut mereka, fokus utama ketika ini adalah untuk memberikan persembahan terbaik di gelanggang tanpa meletakkan tekanan berlebihan ke atas diri masing-masing.
"Sudah tentu, kami sangat bermotivasi dan teruja untuk beraksi di gelanggang sendiri. Namun seperti biasa, kami tidak mahu memberi tekanan yang berlebihan.
"Kejuaraan itu sudah lepas, jadi kami hanya mahu mengambil setiap langkah satu demi satu dan terus fokus ke hadapan", katanya.
Pearly-Thinaah bakal membuka kempen kejohanan menentang pasangan dari Hong Kong, Fan Ka Yan-Yau Mau Ying.
Sementara itu, ketika ditanya tentang masa depan mereka bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM), gandingan beregu keempat dunia itu enggan mengulas dan hanya mahu fokus kepada kejohanan yang sedang berlangsung.
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata pihaknya akan meneliti isu kontrak Pearly dan Thinaah dalam masa terdekat.