KUALA LUMPUR, 16 Mei- Kemenangan acara sepak takraw regu berpasukan ke atas Brunei belum mencerminkan tahap terbaik pasukan negara.
Jelas ketua jurulatihnya, Ahmad Jais Baharun berkata faktor itu dipengaruhi tempoh persiapan yang terhad serta kombinasi pemain yang masih perlu diperkemas.
"Perlawanan pertama, kita telah mencapai kejayaan dengan pasukan Brunei. Namun, dari segi prestasi pemain, kita belum berada pada tahap terbaik. Mungkin dari segi kombinasi dan masa persediaan yang agak singkat untuk pasukan kebangsaan.
Maka, kita akan memperkemas permainan dalam memberikan persembahan aksi yang lebih bertenaga selain memastikan prestasi pemain juga berada pada tahap terbaik berdepan Jepun, malam ini," kata Ahmad Jais.
Beliau turut menyifatkan pertemuan dengan pasukan Jepun, malam ini akan menjadi ujian sebenar skuad negara dalam memburu gelaran juara bagi acara takraw berpasukan.