KUALA LUMPUR, 16 Mei- Skuad sepak takraw kebangsaan memulakan kempen Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 dengan langkah kanan, apabila mencatat kemenangan sulung dalam acara regu berpasukan.
Regu negara tampil garang menewaskan Brunei dengan keputusan 3-0 dalam saingan awal Kumpulan B.
Malaysia menampilkan skuad regu pertama negara yang dibarisi Farhan Adam (pengumpan), Muhammad Haziq Hairul Nizam (tekong) dan Muhammad Noraizat Mohd Nordin (perejam), memberikan mata pertama negara selepas meraih kemenangan mudah 15-5 ke atas Brunei pada set pertama.
Pada set kedua, pasukan Brunei yang cuba bangkit memberikan saingan bagaimanapun tidak berupaya melawan aksi bertenaga dipamerkan trio utama negara sekali gus akur tewas 10-15.
Momentum diteruskan menerusi aksi regu kedua negara yang menang straight set 15-7, 15-8, yang dibarisi Aidil Aiman Azwawi (pengumpan), Muhammad Zulkifli Abd Razak (tekong) dan Khairul Aman Mohd Rosdi (perejam).
Sementara itu, regu ketiga yang diwakili Amirul Zazwan Amir (pengumpan), Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican (tekong) dan Muhammad Afifuddin Mohd Razali (perejam) mempamerkan aksi cemerlang apabila mencatat kemenangan bergaya 15-5 dalam set pertama.
Percaturan Malaysia membawa masuk Norfaizzul Abd Razak selaku pengumpan menggantikan Amirul nyata menambah derita pasukan Brunei dan mengesahkan kemenangan dengan pungutan mata 15-3.
Skuad regu berpasukan negara dijadual menentang Jepun untuk saingan seterusnya, malam ini bagi aksi Kumpulan B Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025.