KUALA LUMPUR, 18 Mei - Ketua Jurulatih hoki kebangsaan, Sarjit Singh menyifatkan Jelajah Korea Selatan dari 18 hingga 29 Mei sebagai medan terbaik mempertingkat taktikal pasukan dalam suasana permainan berintensiti tinggi menjelang kempen Piala Negara-Negara 2025.
“Perlawanan di Australia lebih kepada tekanan fizikal, tetapi Korea lebih berdisiplin dan memerlukan kecergasan tinggi. Mereka sangat bagus dalam marking satu lawan satu, jadi ini akan jadi ujian sebenar buat kita,” ujar Sarjit.
Jelajah berkenaan juga sebagai medan terakhir pemilihan pemain sebelum senarai akhir ke Piala Negara-Negara dijadual berlangsung dari 15 hingga 21 Jun di Kuala Lumpur.
Skuad Speedy Tigers akan mengadakan lima aksi persahabatan menentang pasukan kebangsaan Korea Selatan di Pusat Latihan Jincheon, dalam lawatan yang ditaja sepenuhnya oleh Kementerian Sukan Korea Selatan.
Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak menyifatkan jemputan ini sebagai satu penghormatan terhadap pencapaian semasa pasukan.
“Keseluruhan kos ditanggung Korea Selatan, satu pengiktirafan luar biasa kepada skuad lelaki negara,” katanya.
Sebanyak 22 pemain dibawa ke Korea dengan empat muka baharu termasuk Muhammad Najib Abu Hassan dan Naveenash Panicker S. Thevendran. Jelajah ini juga menjadi penentu akhir sebelum senarai rasmi ke Piala Negara-Negara diumumkan.
Speedy Tigers dijangka beraksi dalam tiga kejohanan utama lain tahun ini: Piala Asia di India (27 Ogos–7 September), Piala Sultan Azlan Shah (22–29 November) dan Sukan SEA di Thailand (9–20 Disember).