PUTRAJAYA, 16 Mei- Penganjuran sulung kejohanan berbasikal ekstrem, KL Down Mall Challenge 2025 menyasarkan usaha mencungkil bakat muda dalam arena sukan berbasikal tempatan.
Menurut Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan, Nik Ahmad Zahiruddin Nik Saleh kejohanan itu membuka penyertaan kepada peserta seawal usia 13 tahun sekali gus menjadi platform pemula bagi karier sukan pelumba muda berbakat.
Kejohanan berkenaan bakal dilangsungkan di pusat beli-belah Endah Parade, Sri Petaling pada 28 hingga 29 Jun ini.
“Penganjuran ini turut bertujuan mencungkil bakat-bakat baharu dalam sukan berbasikal, meskipun fokus utama diberikan kepada atlet-atlet yang bakal menyertai Sukan Malaysia (SUKMA).
Namun, tidak mustahil kejohanan ini akan menemukan permata baharu yang bukan sahaja mampu mewakili Wilayah Persekutuan, malah berpotensi diketengahkan ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa pada masa akan datang," kata Nik Ahmad Zahiruddin dalam sidang media pelancaran, hari ini.
Endah Parade dipilih sebagai lokasi rasmi atas faktor kesesuaian struktur dan sokongan pihak pengurusan pusat beli-belah tersebut.
Laluan perlumbaan sepanjang 600 meter melibatkan tujuh tingkat pusat membeli-belah, dengan pelbagai rintangan teknikal seperti eskalator, selekoh tajam serta cerun (ramp).
Tambahnya, penglibatan agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut diselaras bagi meningkatkan aspek keselamatan.
Sementara itu, Presiden Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur, Firdaus Arshad menjelaskan bahawa kejohanan itu bukanlah asing di peringkat antarabangsa, malah pernah dianjurkan di Australia, New Zealand dan terkini di Indonesia.
Beliau turut menyasarkan agar kejohanan berkenaan diangkat sebagai acara tahunan.
Di Malaysia, hanya kategori catatan masa terpantas (time trial) dipertandingkan dalam kejohanan ini.