KUALA LUMPUR, 16 Mei - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada pasukan regu sepak takraw negara yang berjaya menjuarai Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 dengan menewaskan Thailand 2-0 pada aksi final di Stadium Titiwangsa
Ahmad Zahid berkata kejayaan ini mengulangi detik gemilang yang dilakar negara ketika Piala Dunia 2024, dan beliau berharap skuad negara terus mara ke hadapan dengan mencipta lebih banyak kejayaan di pentas dunia.
"Tahniah wira-wira sepak takraw negara! Alhamdulillah, sekali lagi menyaksikan Malaysia menewaskan Thailand untuk menjulang kejuaraan, kali ini dalam aksi final acara regu Piala Asia 2025.
"Ribuan penyokong hadir di Stadium Titiwangsa, memberi sokongan kepada skuad negara, diwakili Syahir Rosdi (tekong), Mohamad Azlan Alias (perejam), dan Farhan Adam (pengumpan), yang menampilkan aksi bertenaga dan penuh semangat untuk menundukkan musuh tradisi," katanya menerusi hantaran di laman media sosialnya.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, juga meluahkan rasa bangga atas kemenangan tersebut yang bukan sahaja menyaksikan pasukan negara berjaya mempertahankan kejuaraan, tetapi turut mengimbau kembali memori manis di gelanggang yang sama.
"Terbukti kejayaan ini bukan sekadar kemenangan biasa tetapi ia menjadi satu petanda kepada ketabahan,keunggulan dan semangat juang pasukan kebangsaan yang tidak pernah luntur berjuang di atas nama negara", katanya.
Isnin lepas Malaysia turut menjuarai acara kuadran apabila pemain negara dibarisi Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Amirul Zazwan Amir, Norfaizzul Abd Razak dan Muhammad Shahril Aiman Halim menewaskan Jepun 15-8, 15-11
Bagaimanapun hasrat Malaysia untuk meraih gelaran berganda tidak kesampaian apabila tewas 1-2 kepada musuh tradisi Thailand dalam perlawanan akhir acara double.