fb fb fb fb fb

Permohonan lesen kebangsaan 2025-2026 masih dinilai

Foto MFL

KUALA LUMPUR, 16 Mei - Proses semakan dokumen bagi permohonan Lesen Kebangsaan untuk menyertai saingan Liga Super musim 2025–2026 masih diteruskan oleh badan bebas, First Instance Body (FIB).

Pengerusi FIB Pelesenan Kelab Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif, berkata pihaknya kini meneliti lebih 387 dokumen dan entri yang dimuat naik setiap kelab Liga Super menerusi Sistem Pelesenan Kelab Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC CLAS).

Katanya FIB turut meneliti 98 dokumen dan entri yang dikemukakan kelab Liga A1 Semi-Pro sebelum tarikh tutup pada 10 Mei lepas.

“Kesemua dokumen ini meliputi enam kriteria utama iaitu kewangan, perniagaan, kakitangan dan pentadbiran, perundangan, sukan serta infrastruktur.

“Proses semakan masih berjalan dan kami memerlukan sedikit masa lagi bagi memastikan setiap dokumen diteliti secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, keputusan rasmi berhubung permohonan Lesen Kebangsaan 2025–2026 akan diumumkan sebaik proses semakan selesai sepenuhnya.- BERNAMA

MOHD ZAMBRI BIN SUHARANI