BANGKOK, 16 Mei - Gandingan beregu wanita negara, Pearly Tan dan M. Thinaah hanya memerlukan 34 minit untuk mara ke separuh akhir Terbuka Thailand selepas menumpaskan pasangan China, Chen Qing Chen-Wang Ting Ge.
Dalam aksi suku akhir yang berlangsung di Stadium Nimibutr, pasangan nombor empat dunia itu menang mudah 21-14, 21-11 sekali gus mengesahkan pertemuan menentang wakil Jepun, Rui Hirokami-Sayaka Hobara esok.
Pasangan Jepun tersebut terdahulu mengatasi wakil Indonesia, Meilysa Trias Puspitasari-Rachel Allessya Rose dengan keputusan 21-9, 21-16.
Menurut Thinaah, kejayaan itu hasil perbincangan mendalam bersama jurulatih sehari sebelum perlawanan, yang menyusun strategi rapi menghadapi lawan dari China.
“Kami gembira kerana rancangan kami berjalan lancar... dan ya, keyakinan sentiasa ada bahawa kami boleh melangkah jauh untuk memenangi kejohanan ini,” katanya.
Sementara itu, Pearly menjelaskan mereka lebih menumpukan usaha memperkemas corak permainan sendiri berbanding memberi fokus khusus kepada lawan esok.
“Kami mahu mengekalkan momentum positif ini dan akan terus berbincang dengan jurulatih untuk persiapan perlawanan seterusnya,” jelasnya.