KUALA LUMPUR, 19 Jun- Empat pemain badminton profesional negara iaitu beregu lelaki nombor satu dunia Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie menyatakan komitmen mereka untuk menyertai Program Road to Gold (RTG)
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dalam kenyataan menerusi Facebook memaklumkan melalui program RTG, semua pemain ini akan menerima sokongan menyeluruh berkaitan prestasi, dalam usaha mereka bukan sahaja melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles (LA28), malah mencipta sejarah untuk Malaysia
"Program RTG sentiasa menyokong atlet yang memenuhi kriteria yang ditetapkan.
"Kami berharap sokongan tambahan ini dapat menyuntik semangat kepada mereka untuk terus mengejar kecemerlangan sepanjang tahun ini", katanya.
Tambah beliau lagi, pemilihan keempat-empat pemain itu adalah berdasarkan pencapaian konsisten dan potensi mereka untuk mencipta sejarah baharu buat negara di pentas Olimpik.
RTG merupakan inisiatif nasional yang bertujuan membantu atlet elit negara meraih pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik di Paris 2024 dan Los Angeles 2028. -BERNAMA