WASHINGTON D.C., 18 Jun – Juventus memulakan kempen Piala Dunia Kelab dengan penuh bergaya apabila membelasah kelab Emiriah Arab Bersatu, Al-Ain 5-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan G di Stadium Audi Field, Rabu.
Penyerang Juvents, Randal Kolo Muani dan Francisco Conceicao masing-masing menjaringkan dua gol, sekali gus mencuri tumpuan dalam persembahan menghiburkan oleh pasukan muda Juventus.
Turut mencatat nama sebagai penjaring ialah pemain Turki, Kenan Yildiz.
Kolo Muani meledak dua gol pada separuh masa pertama, manakala Conceicao menambah dua lagi gol, satu sebelum rehat dan satu lagi selepas babak kedua bermula bagi melengkapkan malam cemerlang buat kelab Itali itu.
Yildiz pula menambah gol kelima bagi melengkapkan pesta gol Juventus.
Kemenangan besar itu meletakkan Juventus di tangga teratas Kumpulan G dengan tiga mata, berkongsi mata bersama Manchester City yang terdahulu menewaskan Wydad Casablanca 2-0.-REUTERS
Juventus dijadualkan bertemu wakil Maghribi, Wydad, di Philadelphia pada Ahad ini, manakala Al-Ain pula bakal berdepan tugas berat menentang Manchester City di Atlanta pada hari yang sama.-REUTERS.