KUALA LUMPUR, 19 Jun - Liga Malaysia musim baharu masih belum diumumkan secara rasmi berikutan beberapa kekangan, termasuk isu venue pasukan Imigresen FC dan penantian jadual kejohanan kelab Asia.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd berkata, Imigresen FC perlu segera mengemukakan cadangan venue baharu selepas dimaklumkan Stadium Darul Aman tidak dapat digunakan sebagai gelanggang tuan rumah pasukan itu.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd
"Kami seketeriat masih menunggu pemakluman daripada kelab Imigresen FC. Ini susulan semalam kami mendapat makluman daripada Menteri Besar Kedah memaklumkan Stadium Darul Aman tidak boleh digunakan pasukan Imigresen dan Imigresen perlu maklumkan kepada MFL vanue lain yang akan mereka main untuk musim depan," katanya
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Bengkel LaLiga Extratime Workshop, di ibu negara, hari ini.
Menurutnya, MFL juga masih menunggu keputusan rasmi undian kejohanan kelab Asia seperti Liga Juara-Juara Asia (ACL) 1, ACL 2 dan AFC Challenge Cup pada 15 Ogos depan, bagi menyusun jadual perlawanan tempatan secara lebih teratur.
Dua pasukan negara, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC, bakal bersaing dalam kejohanan berkenaan.
Setakat ini, 14 pasukan telah menerima Lesen Kebangsaan untuk beraksi di Liga Super musim ini, dengan PDRM, Kelantan dan Kuala Lumpur FC diberi lesen secara bersyarat.
Bagi memastikan pengurusan kewangan pasukan lebih mampan, pelaksanaan sistem Financial Fair Play (FFP) turut diperketat dengan syarat 80 peratus daripada dana penajaan perlu digunakan untuk pembayaran gaji pemain dan kakitangan.