KUALA LUMPUR, 19 Jun - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih menilai secara menyeluruh sebelum membuat keputusan sama ada skuad Harimau Malaya akan menyertai Kejohanan Piala Negara Persatuan Bola Sepak Asia Tengah (CAFA) 2025.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, Datuk Zainal Abidin Hassan memaklumkan, keputusan rasmi masih belum dimuktamadkan, namun sebarang penyertaan akan dibuat berdasarkan keperluan pembangunan dan prestasi skuad kebangsaan.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, Datuk Zainal Abidin Hassan
"Di bahagian pertandingan saya rasa mesyuarat pertandingan perlu berbincang dan jika ini adalah untuk kebaikan pasukan kebangsaan, bagi saya benda yang baik kita akan mengambil bahagian untuk kebaikan bola sepak," katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir pada Bengkel LaLiga Extratime, di ibu negara, hari ini.
Sebelum ini, timbul spekulasi mengenai penyertaan Malaysia dalam CAFA 2025 yang dijangka melibatkan pasukan seperti Kyrgyzstan, Tajikistan, Turkmenistan, Uzbekistan, Afghanistan dan Iran.
Sementara itu, Zainal Abidin turut mengesahkan bahawa FAM belum memutuskan penganjuran edisi seterusnya Pesta Bola Merdeka 2025.
Ini susulan jadual padat membabitkan skuad negara dan kelab Liga Malaysia.
Malaysia juara Pesta Bola Merdeka 2024 - Foto BERNAMA
"Jadi ini (jadual) mungkin nampak padat, jadi saya rasa belum ada keputusan lagi, tetapi mereka akan meneliti sebaik mungkin didalam Pesta Bola Merdeka ini dan juga untuk pasukan kebangsaan.
"Saya rasa keputusan ini perlu diambil kira dan juga perlu diteliti dengan baik sebelum kita mengdakan sesuatu perlawanan," katanya.
Sebagai rekod, Malaysia muncul juara Pesta Bola Merdeka edisi ke-43 tahun lalu selepas menewaskan Lebanon dalam final.
Ketika itu, skuad Harimau Malaya dibimbing jurulatih dari Sepanyol, Pau Marti Vicente.