SHAH ALAM, 19 Jun - Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sah akan menjadi venue utama bagi majlis perasmian Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.
Exco Belia dan Sukan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, perkara itu diputuskan hasil perbincangan di peringkat sekretariat SUKMA Selangor.
Pemilihan SIC sebagai lokasi rasmi bertujuan membuka lembaran baharu dalam penganjuran acara sukan negara.
Ia bakal menampilkan pendekatan lebih moden dan dinamik, selari dengan imej Selangor sebagai negeri maju dan berdaya saing.
Exco Selangor, Mohd Najwan Halimi (kanan) pada sesi jalinan media bersama SAM - Foto FB MSN Selangor
"Kita ingin kurangkan kos dari segi tenaga kerja...seperti di negeri-negeri lain, mungkin ada banyak memakai sukarelawan yang ada kosnya.
"Kita cuba untuk optimumkan dengan mengunakan teknologi dan juga inovasi terkini dalam kita nak melaksanakan perasmian pembukaan nanti," katanya.
Beliau berkata demikian selepas sesi jalinan media antara Sekretariat SUKMA Selangor dan Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) di sini hari ini.
Menurutnya, selain mengangkat tema kemodenan, majlis pembukaan yang dijangka berlangsung dalam suasana penuh warna-warni itu turut akan menampilkan ciri digitalisasi sebagai elemen utama persembahan, termasuk teknologi pencahayaan dan paparan visual berimpak tinggi.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Najwan turut memaklumkan, kerajaan negeri telah memuktamadkan 28 jenis sukan sebagai acara teras yang akan dipertandingkan dalam SUKMA Selangor 2026.
Mohd Najwan memaklumkan RM200 juta diperuntukkan bagi temasya SUKMA Selangor 2026 - Foto FB MSN Selangor
Menurutnya, bagi acara tambahan pula, lima daripada sembilan cadangan yang telah dikemukakan sedang diteliti.
Antara acara yang dalam pertimbangan termasuk e-sukan, tinju, catur, Muay Thai, kriket, kabadi, silambam dan sofbol.
Beliau berkata, keputusan akhir senarai penuh sukan dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Sementara itu, Mohd Najwan memaklumkan, kerajaan Selangor memperuntukkan sebanyak RM200 juta bagi pelaksanaan temasya sukan dwitahunan itu.
Menurutnya, walaupun angka itu lebih rendah berbanding penganjuran SUKMA di Sarawak sebelum ini, kerana kerajaan Selangor mengambil pendekatan untuk berbelanja secara berhemah.