fb fb fb fb fb

Syihan pula cedera, Harimau Malaya kini hilang enam tonggak utama

FOTO FAM

KUALA LUMPUR, 2 Jun- Skuad Harimau Malaya, sekali lagi berdepan cabaran apabila penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed pula mengalami kecederaan menjelang dua aksi getir Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027, bulan ini.

Persatuan Bolasepak Malaysia, FAM dalam hantaran di Facebook mengesahkan pemain Johor Darul Ta’zim, JDT berusia 28 tahun itu terpaksa melupakan hasrat menyertai kem latihan pusat atas nasihat doktor kelabnya.

Ahmad Syihan merupakan pemain keenam mengalami kecederaan selepas lima tonggak serangan iaitu dua pemain sayap Mohamad Faisal Abdul Halim dan Arif Aiman Mohd Hanapi serta tiga penyerang Darren Lok, Muhammad Syafiq Ahmad dan Romel Morales terpaksa diketepikan.

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon tidak memanggil pemain pengganti, sebaliknya kekal dengan tiga penjaga gol sedia ada masing-masing, Azri Ab Ghani, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.

FAM memaklumkan pemain tengah Selangor FC, Nooa Laine bakal menyertai skuad kebangsaan, bagi melengkapkan senarai 25 pemain yang akan terbang ke Bishkek pada Selasa.

Saingan seterusnya pasukan negara ialah menentang tuan rumah, Kyrgyzstan di Stadium Dolen Omurzakov, Khamis ini, sebelum menutup kempen saingan Kumpulan D bertemu Taiwan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 11 Jun.

Selepas empat perlawanan, Malaysia berada di posisi ketiga kumpulan dengan enam mata sementara Kyrgyzstan sebagai pendahulu berkongsi sembilan mata dengan Oman di tempat kedua.

Manakala Taiwan tercorot tanpa mata.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE