fb fb fb fb fb

Switzerland mara pusingan kalah mati, capai sasaran hatrik

(Para pemain Switzerland meraikan kemenangan mereka dalam perlawanan bola sepak
Piala Dunia Qatar 2022 Kumpulan G antara Serbia dan Switzerland
di Stadium 974 di Doha/FOTO IHSAN FIFA)

DOHA, 3 Disember- Switzerland mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut selepas menewaskan Serbia 3-2 untuk muncul naib juara Kumpulan G.

Kemenangan itu meletakkan mereka di tangga kedua kumpulan pada enam mata bersama pendahulu, Brazil, dan Switzerland akan bertemu Portugal bagi merebut tempat ke suku akhir.

Dalam aksi di Stadium 974 itu, Xherdan Shaqiri meletakkan Switzerland di depan pada minit ke-20 tetapi Serbia meledak dua gol menerusi Aleksandar Mitrovic dan Dusan Vlahovic untuk mendahului permainan.

Breel Embolo kembali menyamakan kedudukan sebelum rehat dan Remo Freuler meledak gol kemenangan Switzerland tiga minit selepas babak kedua bersambung.

Penjaga gol Switzerland, Gregor KobelIa mengakui perlawanan itu adalah yang sukar namun pasukan itu berjaya bangkit semula dengan berani.

"Ia adalah perlawanan antarabangsa pertama saya selepas sekian lama dan perlawanan penting sebegini cukup mencabar.

"Ia bukan perlawanan yang mudah. Akhirnya kami amat gembira kerana memenanginya," katanya yang menggantikan Yann Sommer selepas penjaga gol utama itu direhatkan kerana masalah kesihatan.

Switzerland kini berjaya mara ke pusingan 16 terakhir bagi setiap kejohanan Piala Dunia dan Kejuaraan Eropah sejak tahun 2014.


(Pemain tengah Switzerland Remo Freuler (kanan) meraikannya bersama pertahanan  Ricardo Rodriguez
selepas menjaringkan gol ketiga pada  perlawanan bola sepak Kumpulan G
Piala Dunia Qatar 2022 antara Serbia dan Switzerland di Stadium 974 di Doha/FOTO IHSAN FIFA)

Mereka menamatkan saingan Kumpulan G di tempat kedua pada enam mata, manakala Brazil menjuarai kumpulan dengan kelebihan perbezaan jaringan selepas dikejutkan oleh Cameroon 1-0.

Serbia di tangga tercorot dengan hanya satu mata. Mereka belum pernah melepasi peringkat kumpulan Piala Dunia sejak perpecahan Yugoslavia.-REUTERS

Media Baharu