fb fb fb fb fb

Sukan SEA Thailand 2025: Skuad besbol negara fokus tingkat jisim otot

Skuad Besbol Lelaki Negara menjalani latihan bersama Jurulatih Pitching Kebangsaan, Jimmy Smiley yang baru tiba dari Amerika Syarikat

SERDANG, 8 November – Persiapan skuad besbol lelaki kebangsaan bagi menghadapi Sukan SEA Thailand 2025 bermula dengan tumpuan kepada peningkatan jisim otot serta pengukuhan asas balingan pada sesi pertama latihan pusat di Padang Besbol Universiti Putra Malaysia (UPM).

Jurulatih Pitching Kebangsaan, Jimmy Smiley yang baru tiba dari Amerika Syarikat, menekankan kepentingan teknik balingan mantap bagi memastikan kestabilan permainan dan konsistensi pasukan di gelanggang.

“Hari ini hanya pemain posisi pitcher dan catcher yang hadir, jadi kami menumpukan pada sesi bullpen serta latihan teknik membaling. Saya kagum dengan disiplin pemain – mereka membaling dengan tepat, ikut arahan dengan baik dan mudah dibimbing,” katanya.

Smiley yang berasal dari George Town turut memuji usaha pemain yang menunjukkan peningkatan sejak hari pertama latihan, selain menegaskan keyakinannya terhadap kemampuan pasukan untuk mencipta keputusan positif di temasya nanti.

“Dengan sebulan latihan intensif, saya yakin kami akan terus meningkat dan mampu bersaing dengan baik di Thailand,” ujarnya.

Tambahnya lagi, fokus latihan kali ini adalah untuk membina kekuatan lengan menerusi latihan berterusan dan pembaikan mekanik balingan, sekali gus menghasilkan lontaran yang lebih kuat dan bertenaga.

Walaupun masa persiapan agak singkat, Smiley percaya kebanyakan pemain sudah memiliki asas yang kukuh, sekali gus mempercepatkan proses penyesuaian dalam program latihan intensif yang dirancang.

Acara besbol Sukan SEA 2025 dijadual berlangsung dari 6 hingga 12 Disember di Stadium Besbol Queen Sirikit, dengan penyertaan tujuh negara selepas Kemboja menarik diri daripada kejohanan.

GRACE AISYAH KEDAYAN