WUHAN, 10 Oktober- Pemain tenis Poland, Iga Swiatek meneruskan rentak cemerlangnya apabila mara ke suku akhir Terbuka Wuhan selepas menewaskan pilihan ke-13, Belinda Bencic 7-6(2), 6-4 pada Khamis.
Pemenang enam gelaran Grand Slam itu berdepan tentangan sengit daripada bekas pemain nombor empat dunia yang kini kembali meningkat dalam ranking selepas melahirkan anak pada 2024.
Bencic, yang meraih kejuaraan di Abu Dhabi dan mara ke separuh akhir Wimbledon musim ini, bangkit daripada ketinggalan 0-3 untuk mendahului 5-4 pada set pertama, namun Swiatek berjaya memaksa ‘tiebreak’ dan memenanginya 7-2.
Pemain nombor dua dunia itu kemudian mematahkan servis pemain Switzerland berusia 28 tahun itu dua kali pada set kedua bagi mengesahkan kemenangan dan tempat ke suku akhir menentang Jasmine Paolini.
Paolini mara selepas lawannya, pilihan ke-10 Clara Tauson, menarik diri akibat kecederaan kaki ketika ketinggalan 3-6, 6-1, 3-1.
Dalam satu lagi aksi, pilihan ketiga Coco Gauff hanya mengambil masa satu jam untuk menyingkirkan Zhang Shuai dari China.
Gauff akan berdepan Laura Siegemund dari Jerman dalam suku akhir. -REUTERS