fb fb fb fb fb

Kelayakan Piala Dunia: Belgium sasar tangga teratas Kumpulan J

Pengendali Belgium, Rudi Garcia/REUTERS

GHENT, 10 Oktober- Belgium berpeluang merampas tangga teratas Kumpulan J Kelayakan Piala Dunia 2026 apabila menerima kunjungan Macedonia Utara di Ghent, awal pagi Sabtu.

Skuad bimbingan Rudi Garcia itu kini berada di tangga kedua dengan 10 mata daripada empat perlawanan, satu mata di belakang pendahulu kumpulan, Macedonia Utara, yang telah bermain lima perlawanan.

Wales turut mengumpul 10 mata, daripada lima aksi.

Garcia, yang dilantik sebagai ketua jurulatih Belgium pada awal 2025, sebelum ini menyaksikan pasukannya terikat 1-1 dalam perlawanan pertama kempen kelayakan di Skopje pada Jun lalu.

Dalam aksi itu, Belgium mendahului menerusi jaringan awal Maxim De Cuyper namun kealpaan di penghujung permainan membolehkan tuan rumah menyamakan kedudukan pada minit ke-86.

Sejak itu, pengendali berusia 61 tahun dari Perancis itu berjaya membimbing Red Devils mencatat tiga kemenangan berturut-turut, bermula dengan kemenangan dramatik 4-3 ke atas Wales di Brussels hasil jaringan lewat kapten Kevin De Bruyne, sebelum membelasah Liechtenstein dan Kazakhstan dengan agregat 12-0 pada September.

Dalam sidang media pada Khamis, Garcia mengingatkan anak buahnya agar tidak mengulangi kesilapan sama di Skopje.

“Adalah bagus jika kami dapat mendahului sekali lagi, tapi yang lebih penting ialah bagaimana untuk mempertahankan kelebihan itu,” katanya.

“Kami perlu pastikan mereka tidak diberi peluang menyamakan kedudukan kerana pada pertemuan pertama, ia berpunca daripada kesilapan kami sendiri,” tambah bekas pengendali Lille, Roma, Marseille dan Lyon itu.

Perlawanan menentang Macedonia Utara bakal menjadi penentu penting buat Belgium dalam usaha mereka mendahului kumpulan kelayakan zon Eropah ke Piala Dunia 2026. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM