KUALA LUMPUR, 9 Oktober - Skuad badminton remaja negara terpaksa akur selepas tewas 0-2 kepada China pada aksi suku akhir Kejohanan Berpasukan Campuran Remaja Dunia 2025 di Guwahati, India, hari ini.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Pusat Kecemerlangan Nasional itu, Malaysia tunduk dengan keputusan 36-45, 43-45 menerusi format baharu kejohanan yang menggunakan sistem terbaik daripada tiga set, dengan setiap set dimainkan sehingga 45 mata.
Walaupun menunjukkan semangat juang tinggi, skuad negara gagal menandingi keampuhan pasukan China yang tampil lebih konsisten di setiap perlawanan.
Menurut hantaran rasmi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di Facebook, pasukan tetap berpuas hati dengan komitmen dan kesungguhan pemain muda negara sepanjang saingan kali ini.
“Pasukan negara menunjukkan komitmen dan tekad yang jelas dan kini akan beraksi bagi penentuan tempat kelima hingga kelapan esok,” menurut hantaran itu.