fb fb fb fb fb

Djokovic mara ke separuh akhir Shanghai Masters, bakal berdepan Vacherot

Novak Djokovic/REUTERS

SHANGHAI, 10 Oktober- Pilihan keempat, Novak Djokovic terpaksa berhempas pulas sebelum menewaskan Zizou Bergs 6-3, 7-5 pada Khamis untuk mara ke separuh akhir Shanghai Masters buat kali ke-10.

Dalam aksi penuh sengit, Djokovic diuji hebat oleh pemain Belgium itu yang lebih banyak mendominasi permainanan bagaimanapun tewas akibat kesilapan sendiri.

Bergs turut menyelamatkan lima mata set pada set pertama sebelum Djokovic menamatkannya dengan servis kencang.

Set kedua menyaksikan pertarungan lebih sengit dengan pertukaran pukulan panjang mencemaskan penonton, termasuk satu rali dramatik apabila Djokovic menafikan lima peluang ‘overhead’ dan voli lawan untuk memenangi mata tersebut.

Djokovic akhirnya mengesahkan kemenangan pada mata perlawanan ketiga untuk bertemu pemain ranking ke-204 dunia, Valentin Vacherot, dalam separuh akhir.

Sementara itu, Vacherot mencipta kejutan besar apabila menumbangkan pilihan ke-10, Holger Rune 2-6, 7-6(4), 6-4, sekali gus menjadi pemain ranking kedua terendah mara ke separuh akhir ATP Masters.

Pemain Monaco itu, yang pernah diketepikan akibat kecederaan pada 2024, kini bakal menembusi kelompok 100 terbaik dunia selepas kejayaan sensasi di Shanghai termasuk empat kemenangan ke atas pemain pilihan. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM