PARIS, 6 Jun-Hasrat juara empat kali, Iga Swiatek, untuk mencipta sejarah di Terbuka Perancis lebur apabila tewas mengejut kepada pemain nombor satu dunia, Aryna Sabalenka, dalam separuh akhir penuh dramatik.
Sabalenka menewaskan pemain Poland itu dengan keputusan 6-7(1), 6-4, 6-0, sekali gus menamatkan rekod kemenangan 26 perlawanan Swiatek di Roland Garros.
Pada perlawanan berkenaan, Sabalenka bermula garang apabila mendahului 3-0 hasil dua break awal.
Swiatek pula bergelut dengan servis dan melakukan tujuh "unforced error" dalam tiga permainan pertama serta dua "double fault" menjelang permainan kelima.
Walau bagaimanapun, juara bertahan itu berjaya menyamakan kedudukan apabila Sabalenka melakukan double fault pada break point.
Namun, tiebreak pada set pertama menyaksikan Sabalenka kembali menguasai permainan.
Set kedua lebih seimbang, dengan kedua-dua pemain saling mematahkan servis. Swiatek berjaya memenangi set tersebut untuk menyamakan kedudukan, tetapi segalanya berubah di set penentuan.
Sabalenka kembali mendominasi set ketiga dan tidak memberi ruang kepada Swiatek untuk bangkit dan menamatkan perlawanan dengan kemenangan meyakinkan 6-0.
Sabalenka, yang kini mara ke final Terbuka Perancis pertamanya, akan berdepan sama ada pemain wildcard dari Perancis, Lois Boisson, atau pilihan kedua dari Amerika Syarikat, Coco Gauff, dalam aksi akhir Sabtu ini.-AFP.