fb fb fb fb fb

Piala Dunia 2026: Impian China layak lebur

Foto AFP

JAKARTA, 6 Jun-Impian China untuk layak ke Piala Dunia buat kali kedua berakhir pada Khamis, selepas tewas 0-1 kepada Indonesia.

Satu-satunya gol perlawanan dijaringkan oleh pemain Oxford United, Ole Romeny, menerusi sepakan penalti kontroversi pada minit ke-45, selepas semakan VAR mendapati Ricky Kambuaya dijatuhkan dalam kotak penalti.


Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno itu Indonesia dilihat menguasai perlawanan dengan serangan bertali arus ke kubu pertahanan China.

China turut melancarkan beberapa serangan selepas rehat, termasuk percubaan berbahaya oleh Wang Yudong dan hantaran berbahaya daripada pemain naturalisasi Serginho yang gagal disambut.

Indonesia juga mencipta beberapa peluang tambahan menerusi Kevin Diks, namun gagal menambah jaringan.

Kekalahan ini meletakkan China di tangga tercorot Kumpulan C dalam saingan kelayakan Asia, dengan hanya satu perlawanan berbaki. sekali gus tersingkir daripada saingan untuk ke Piala Dunia 2026.

China hanya mencatat dua kemenangan daripada sembilan perlawanan dan tewas sebanyak tujuh kali.

Sementara itu, kemenangan bermakna Indonesia kini mengumpul 12 mata dan kekal di tempat keempat kumpulan, sekali gus mengekalkan peluang untuk mara ke pusingan seterusnya dalam kelayakan Piala Dunia 2026.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD