PARIS 30 Mei- Bintang Poland, Iga Swiatek meneruskan impian untuk merangkul kejuaraan Terbuka Perancis keempat berturut-turut apabila melangkah ke pusingan 16 terbaik.
Swiatek mara selepas menewaskan pemain nombor 60 dunia Jaqueline Cristian dari Romania, 6-2, 7-5 dalam aksi hampir dua jam di gelanggang Suzanne Lenglen.
Turut mara pilihan utama Aryna Sabalenka, juara Olimpik Zheng Qinwen dan Jasmine Paolini dari Itali.
"Saya gembira kerana beraksi dengan sangat mantap," kata Swiatek, berharap menjadi wanita pertama memenangi empat gelaran Roland Garros berturut-turut sejak Suzanne Lenglen, 102 tahun lalu.
Pemain berusia 23 tahun itu seterusnya akan menentang pilihan ke-12, Elena Rybakina dari Kazakhstan yang menewaskan juara 2017 Jelena Ostapenko 6-2, 6-2.
Swiatek mempunyai rekod 4-4 menentang Rybakina tetapi telah tewas dua pertemuan sebelumnya di tanah liat.
Terdahulu, Sabalenka mempamerkan aksi dominan dalam kemenangan 6-2, 6-3 ke atas pemain kidal Serbia di ranking ke-34, Olga Danilovic.
Pemain Belarus berusia 27 tahun itu seterusnya menentang pilihan ke-16 dari Amerika, Amanda Anisimova yang menyingkirkan pilihan ke-22 dari Denmark, Clara Tauson 7-6, 6-4 dalam perlawanan pusingan ketiga.
Zheng pula menumpaskan pemain remaja dari Kanada Victoria Mboko 6-3, 6-4.
Pilihan kelapan dari China itu kini memenangi sembilan perlawanan berturut-turut di Roland Garros berikutan kejayaannya merangkul emas Olimpik tahun lalu.
Zheng mara ke pusingan keempat di Paris buat kali kedua dan seterusnya akan menentang pilihan ke-19 dari Rusia, Liudmila Samsonova yang menewaskan pemain Ukraine Dayana Yastremska 6-2, 6-3.
Pilihan keempat dari Itali, Paolini menewaskan pemain Ukraine, Yuliia Starodubtseva 6-4, 6-1.
Paolini, naib juara tahun lalu di Roland Garros dan Wimbledon, akan bertemu pilihan ke-13 dari Ukraine, Elina Svitolina. - AFP