MUNICH, 31 Mei- Ketua pasukan Paris Saint-Germain (PSG), Marquinhos yakin pasukannya mampu mengatasi tekanan perlawanan akhir Liga Juara Eropah menentang Inter Milan awal pagi esok.
Sekali gus menamatkan beberapa tahun penuh kekecewaan dalam pertandingan itu dengan menjulang trofi berprestij tersebut.
"Kelab ini sudah belajar bagaimana dari semasa ke semasa untuk menghadapi perlawanan sebegini dan tahu apa yang perlu dilakukan.
"Banyak perkara berubah di PSG sejak saya tiba. Ada waktu hebat, ada waktu sukar, tetapi esok (Ahad) kami mempunyai peluang yang amat berharga untuk melakukan sesuatu yang luar biasa dan bersejarah buat kelab ini.
"Ini adalah perlawanan akhir kedua saya dan saya tidak mahu melepaskan peluang begitu sahaja," kata pemain pertahanan dari Brazil itu kepada wartawan di Munich sehari sebelum perlawanan.
Ia adalah perlawanan akhir Liga Juara Eropah kedua PSG, lima tahun selepas kekalahan tipis kepada Bayern Munich di Lisbon semasa pandemik COVID-19.
Marquinhos, yang kini berusia 31 tahun, adalah pemain paling senior dalam skuad PSG dan salah seorang daripada hanya dua pemain yang beraksi pada saingan akhir 2020 yang masih bersama kelab.
Seorang lagi rakan pertahanan tengah, Presnel Kimpembe, yang kini kurang mendapat minit permainan.
Sejak menyertai PSG pada tahun 2013, Marquinhos juga pernah terbabit dalam beberapa kekalahan memalukan di Liga Juara Eropah
Ini termasuk kekalahan dramatik kepada Barcelona pada 2017, apabila mereka menang 4-0 di Paris pada aksi pertama tetapi tewas 6-1 dalam perlawanan timbal balik. - AFP