fb fb fb fb fb

Hubungan FA, FC terus diperkukuh - Presiden FAM

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub (tengah) mengadakan sidang media selepas mesyuarat bersama Persatuan Bola Sepak Negeri (FA) dan Kelab Bola Sepak (FC) di Wisma FAM semalam. - Foto BERNAMA

KELANA JAYA, 31 Mei- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menekankan hubungan antara persatuan bola sepak negeri (FA) dan kelab bola sepak (FC) kekal utuh serta terus diperkukuh melalui pendekatan baharu yang lebih menyeluruh demi pembangunan bola sepak di peringkat negeri.

Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub menolak persepsi FA dan FC bergerak secara berasingan, sebaliknya kebanyakan kelab masih berada di bawah pemilikan persatuan bola sepak negeri masing-masing.

Katanya, salah satu perkara yang ditekankan ialah bagaimana penglibatan antara FA dengan FC dapat digabungkan bagi memastikan pembangunan bola sepak di peringkat negeri menjadi lebih sihat dan berkesan.

"Ini bermaksud, ada situasi di mana tindakan atau inisiatif yang diambil oleh FC boleh disokong oleh FA, dan itu merupakan antara kaedah yang ingin kami gunakan.

"Sebab itulah saya katakan bahawa kebanyakan tanggapan yang dibuat orang ramai adalah disebabkan oleh masalah yang sedang berlaku sekarang seperti isu gaji dan sebagainya.

"Namun, kami ingin jelaskan bahawa sebenarnya tidak benar jika dikatakan tiada hubungan kerjasama antara FA dan FC. Hakikatnya, kebanyakan FC masih dimiliki oleh FA", katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan satu sesi libat urus bersama kepimpinan tertinggi FA dan FC di Wisma FAM, semalam.

Beliau turut menegaskan FAM bersama Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akan terus bekerjasama rapat serta melaksanakan pendekatan yang lebih proaktif bagi memastikan pengurusan kelab dijalankan dengan lebih sistematik. 

NIK MOHD HAFIZUL BAHARUDDIN

Hello