KELANA JAYA, 31 Mei- Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub meluahkan rasa bangga terhadap pemain muda berbakat, Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili yang diumumkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan.
Muhammad Ubaidullah mencuri tumpuan selepas mempamerkan aksi mengagumkan ketika Malaysia menentang Cape Verde pada perlawanan persahabatan yang berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Selasa lalu.
"Kita semua pun faham bahawa Ubaidullah dinobatkan sebagai ‘Man of the Match’, sesuatu yang dia sendiri tidak sangka, dan kita pun tidak sangka.
"Saya rasa kamu di media pun tahu perkembangan dia bermula daripada skuad projek semasa saya menjadi pengurus. Jadi, saya amat bangga dengan persembahan ini", katanya.
Aksi mengagumkan yang dipamerkan oleh skuad Harimau Malaya telah menyumbang kepada keputusan seri 1-1 menentang pasukan yang berada di tangga ke-72 dunia.
Dalam perkembangan lain, isu mengenai penyertaan pemain warisan, Rodrigo Holgado, ke dalam skuad kebangsaan bagi aksi kedua Kumpulan F dalam saingan Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun ini, masih belum diputuskan.
Menurut Datuk Mohd Joehari, sebarang pengumuman berhubung perkara itu akan dibuat oleh Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski, dalam masa terdekat. ##