fb fb fb fb fb

Super Series KL: Danish Iftikhar gondol emas kedua, Nur Aishah Rofina pecah rekod peribadi

Danish Iftikhar dan Nur Aishah Rofina

KUALA LUMPUR, 4 Mei - Pelari muda Johor, Danish Iftikhar Muhammad Roslee, meneruskan aksi cemerlang apabila meraih pingat emas keduanya dalam acara 200 meter lelaki pada Kejohanan Olahraga Super Series Kuala Lumpur yang berlangsung di Stadium Merdeka.

Atlet berusia 18 tahun dari pasukan SUKMA Johor itu menampilkan larian bertenaga untuk menamatkan saingan dengan catatan masa 21.81 saat, sekali gus menambah koleksi kejuaraan peribadi dalam kejohanan tersebut.

“Alhamdulillah, bagi sesi ini saya sangat berpuas hati kerana berjaya memperoleh dua kemenangan. Namun ini masih belum cukup bagi saya kerana banyak lagi sasaran dan kejohanan besar akan datang, insya-Allah,” katanya kepada media selepas perlumbaan.

Tempat kedua diraih atlet dari MSN Pahang, Muhammad Rizal Mikhail Mohd Romzi, dengan catatan 22.23 saat, manakala tempat ketiga milik seorang lagi pelari Johor, Muhammad Ariel Iskandar Rusli, dengan masa 22.40 saat.

Dalam kategori 200 meter wanita, pelari dari Sabah, Nur Aishah Rofina Aling, tampil cemerlang apabila berjaya meraih pingat emas dengan catatan masa 24.69 saat, sekali gus memecahkan rekod peribadinya sendiri iaitu 25.06 saat.

“Kalau pasukan Malaysia hantar kami ke Kejohanan Olahraga Asia (ATF) nanti, saya berharap dapat memperbaiki catatan masa ini,” katanya yang dijangka menyertai kejohanan tersebut di Korea Selatan bulan ini.

Tempat kedua diraih wakil Malaysia Athletic, Nur Afrina Batrisya Mohamad Rizal, dengan catatan 25.50 saat, manakala atlet dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Zaimah Atifah Zainuddin, meraih tempat ketiga dengan catatan 26.01 saat.

MOHD ZAMBRI BIN SUHARANI