KUALA LUMPUR, 4 Mei – Seramai 15 pemain akan menggalas cabaran negara dalam Kejohanan ASTAF Sepak Takraw Piala Asia 2025 yang dijadual berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur mulai 10 Mei ini.
Antara pemain berpengalaman yang tersenarai termasuk Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Mohamad Azlan Alias, dan Muhammad Zulkifli Abd Razak.
Turut menjadi tumpuan ialah Khairul Aman Mohd Rosdi, yang bakal melakukan penampilan sulung bersama skuad kebangsaan.
Malaysia, selaku tuan rumah, akan menyertai empat acara utama iaitu regu, regu berpasukan, quadrant dan double, dengan sasaran memburu kejuaraan sulung selepas kali terakhir menjulang trofi tersebut lebih tiga dekad lalu.
Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan, berkata pemilihan pemain dibuat berdasarkan posisi, kebolehan teknikal serta keupayaan menggalas tekanan tinggi, khususnya bagi acara quadrant dan double.
“Kita perlu mencari pemain yang boleh beraksi dalam quadrant dan double kerana ia memberi kesan langsung kepada susunan barisan utama. Tambahan pula, tidak semua pemain muda mampu sesuaikan diri di pentas besar antarabangsa,” jelas beliau.
Beliau turut menegaskan bahawa keputusan akhir senarai pemain adalah tanggungjawab penuh barisan jurulatih, bukan keputusan individu mahupun persatuan.
“Jurulatih telah membuat penilaian menyeluruh. Jadi ini bukan keputusan saya secara peribadi atau keputusan PSM semata-mata,” katanya.
Datuk Sumali juga menyatakan harapan tinggi diletakkan pada acara regu berpasukan, memandangkan Malaysia sedang berusaha keras menamatkan kemarau kejuaraan selama 33 tahun.
“Kita hampir berjaya pada edisi lalu, namun terpaksa akur dengan kekalahan di pentas akhir. Kali ini, kita perlu membuktikan kemampuan sebenar di hadapan penyokong sendiri,” tambahnya.