fb fb fb fb fb

Skuad sepak takraw bidik empat emas di Piala Asia 2025

Skuad regu kebangsaan

KUALA LUMPUR, 4 Mei - Pemain muda negara, Khairul Aman Mohd Rosdi meluahkan rasa teruja dan bangga apabila diberi kepercayaan untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan dalam Kejohanan ASTAF Sepak Takraw Piala Asia 2025.

"Ini adalah panggilan pertama saya untuk mewakili pasukan kebangsaan dalam Sukan Asia. Saya sendiri agak terkejut kerana saya bukanlah pemain muda yang sudah lama dalam arena ini. Saya baru sahaja naik dalam tempoh setahun," kata Khairul Aman kepada pemberita selepas Majlis Memperkenalkan Jersi dan Pemain Malaysia.

"Namun, saya anggap ini sebagai satu cabaran dan peluang untuk saya buktikan kemampuan. Pasukan-pasukan dari negara lain memang hebat, tetapi saya akan cuba lakukan yang terbaik untuk pasukan dan negara," tambahnya.

Selain itu, pemain berpengalaman, Mohammad Syahir Mohd Rosdi berkata, setiap pemain berdepan tekanan, namun mereka mengambil inspirasi daripada pengalaman dan sesi latihan tahun lalu.

Menurutnya, sesi latihan intensif yang dijalankan merupakan persediaan taktikal utama bagi menghadapi edisi kali ini.

"Setiap pemain sememangnya berdepan tekanan. Namun, untuk kali ini, kami tidak pasti corak permainan pasukan lawan, terutamanya Thailand, yang mungkin tampil dengan pertukaran pemain serta perubahan dari segi taktikal. Oleh itu, kami perlu bertindak pantas untuk membuat persediaan rapi menghadapi mereka," katanya.

Mohammad Syahir turut berkata, sasaran utama skuad negara pada kejohanan kali ini adalah untuk mara ke perlawanan akhir dan membawa pulang kesemua empat pingat emas yang dipertandingkan.

"Bagi saya, kalau boleh, saya memang mahu fokus kepada acara berpasukan kerana saingan dalam acara tiga regu ini sangat sengit, terutama dengan pasukan Thailand. Kalau kita dapat tewaskan mereka dalam acara berpasukan, ia menunjukkan tahap sebenar pasukan kita," katanya.

MOHD ZAMBRI BIN SUHARANI