SEPANG, 28 Jun - Peminat sukan permotoran tempatan boleh meletakkan harapan baharu apabila Malaysia diumumkan bakal menerima satu slot wild card bagi kategori GT500 dalam perlumbaan Super GT tahun hadapan.
Pengumuman itu dibuat secara rasmi oleh penganjur Haro Motorsports bersama GTA Jepun pada hari terakhir Super GT Malaysia Round 3 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang.
Ketua Pegawai Eksekutif Sepang International Circuit (SIC), Azhan Shafriman Hanif berkata, peluang ini merupakan insentif besar buat pelumba tempatan yang berbakat untuk mewakili negara di pentas lebih besar.
“Ini merupakan insentif bagi pelumba-pelumba kita yang berbakat, supaya mereka boleh mengharumkan nama negara dan berada di kerusi GT500,” katanya kepada RTM.
Beliau turut menyentuh mengenai pelapis dan pembangunan bakat menerusi platform yang telah tersedia dalam negara.
Antaranya, Malaysian Championship Series 2 (MCS) dan Malaysian Touring Car Championship (MTCC) yang dijenamakan semula bagi edisi kali ini.
“Kita dapat lihat bakat-bakat yang berlumba di MTCC ini akan menjadi pelapis kepada pelumba support race seperti GT86, Vios dan sebagainya. Harapan kita, mereka akan dapat slot dalam wild card tahun depan,” jelas beliau.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan untuk GR86 terus menjadi sebahagian daripada kejohanan-kejohanan tempatan selepas kemunculan sulungnya di Sepang, Shafriman berkata, perbincangan sedang dilakukan dengan Haro Motorsports.
“Kami sedang berbincang untuk jadikan GR86 ini salah satu support race tetap dalam MTCC. Kita ada kereta, kita ada peluang dan kita mahu kembangkan MTCC untuk ada perlumbaan GR86 sepenuhnya,” katanya lagi.
Shafriman turut menzahirkan keyakinannya terhadap keupayaan pelumba tempatan yang telah menunjukkan prestasi cemerlang bukan sahaja di peringkat tempatan, malah dalam siri perlumbaan luar negara seperti Thailand Super Series.
“Kita tahu pelumba kita memang antara yang hebat. Mereka bukan sahaja berlumba secara lokal, tapi sudah ke luar negara. Harapan saya mereka dapat menimba lebih banyak pengalaman, supaya bersedia untuk perlumbaan tahun depan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa peluang keemasan ke GT500 itu bukan sahaja membuka ruang persaingan, malah menjadi motivasi untuk generasi pelumba akan datang supaya lebih bersedia dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.