fb fb fb fb fb

Peluang cerah berdepan Real jika Dortmund kekalkan prestasi

Serhou Guirassy, Penyerang Borussia Dortmund

GEORGIA, 2 Julai - Penyerang Borussia Dortmund, Serhou Guirassy menyifatkan kemenangan 2-1 ke atas Monterrey dalam pusingan 16 terbaik Piala Dunia Kelab, bukan sesuatu yang mudah.

Bagaimanapun, beliau memuji disiplin rakan sepasukan yang berjaya bertahan hingga wisel penamat.

“Kami tahu mereka pasukan yang bagus dan berpengalaman. Separuh masa pertama kami bermain dengan baik, tetapi separuh masa kedua memang sukar.

Saya rasa saya boleh jaringkan hatrik, tetapi begitulah bola sepak. Kadang-kadang kita terlepas, kadang-kadang kita menjaringkan gol. Apa pun, saya gembira dengan kemenangan ini,” katanya.

Guirassy yang meledak kedua-dua gol Dortmund menegaskan, semangat berpasukan menjadi kunci kejayaan mereka.

Sementara itu, jurulatih Dortmund, Niko Kovac mengakui cabaran menentang Real Madrid di suku akhir nanti bukan tugas mudah.

Namun beliau tetap optimis peluang pasukannya cerah jika mengekalkan prestasi semasa.

"Real pasukan hebat. Mereka mempunyai ramai pemain yang bagus. Situasi sama seperti Leverkusen sebelum ini, pasukan yang sangat tangkas.

Kami akan lihat corak permainan yang hampir sama seperti ketika menentang Leverkusen," katanya.

Dalam pada itu, jurulatih Monterrey, Domenec Torrent mengakui kecewa dengan keputusan tersebut.

“Saya tidak gembira dengan keputusan ini, tetapi saya bangga kerana kami sangat hampir untuk memaksa perlawanan ke masa tambahan,” jelasnya.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN