KUALA LUMPUR, 2 Julai – Kontrak Pengarah Teknikal Olahraga Malaysia (MA), Robert Ballard tidak akan disambung selepas tamat tempoh pada 31 Julai ini.
Ia susulan kekangan dana, termasuk peruntukan yang terhad dan ketiadaan penajaan.
Menurut kenyataan MA, Ballard yang kembali menyertai persatuan itu pada Ogos 2023 disifatkan telah menyumbang secara signifikan kepada pembangunan dan prestasi atlet negara sepanjang dua tahun perkhidmatannya.
“MA merakamkan penghargaan atas segala sumbangan beliau dan mendoakan kejayaan Ballard dalam apa jua bidang yang diceburi selepas ini,” menurut kenyataan itu.
Ballard sebelum ini pernah memegang jawatan sama pada 2014 sebelum menamatkan perkhidmatannya dengan MA pada Disember 2015 dan kembali menggalas peranan itu tahun lalu.
Sementara itu, MA yang kini diterajui presiden baharu, Datuk Karim Ibrahim, telah mencadangkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk melantik Manshahar Abdul Jalil sebagai ketua jurulatih olahraga negara.
Pelantikan itu bagi tempoh enam bulan menjelang Sukan SEA 2025 di Thailand, Disember depan.
Manshahar pernah memegang jawatan tersebut selama tiga tahun setengah sebelum kontraknya tidak disambung pada akhir 2022.
Beliau kembali bertugas bersama skuad kebangsaan bagi memastikan persiapan menuju temasya dwitahunan itu berjalan lancar.