MUMBAI, 7 Mac- Legenda bola sepak India, Sunil Chhetri, akan kembali menyarung jersi pasukan kebangsaan pada usia 40 tahun, sekali gus membatalkan keputusan persaraannya tahun lalu.
Bekas kapten pasukan itu, yang merupakan penjaring keempat terbanyak dalam sejarah bola sepak antarabangsa lelaki, membuat penampilan terakhirnya untuk India pada Jun 2024 dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia.
Chhetri sebelum ini berkata, nalurinya memberitahu bahawa perlawanan menentang Kuwait adalah yang terakhir, dan dia mengucapkan selamat tinggal di hadapan hampir 59,000 penyokong di Kolkata.
Bagaimanapun, pada Khamis, ketua jurulatih India, Manolo Marquez, mengumumkan kepulangan pemain paling banyak beraksi untuk India itu bagi jendela perlawanan antarabangsa Mac ini.
India tersingkir daripada kelayakan Piala Dunia 2026 dan kini mengalihkan tumpuan kepada Piala Asia 2027.
"Kelayakan Piala Asia amat penting bagi kami. Memandangkan kepentingan kejohanan dan perlawanan yang bakal dihadapi, saya berbincang dengan Sunil Chhetri mengenai kemungkinannya untuk kembali memperkuatkan pasukan kebangsaan," kata Marquez dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF).
"Beliau bersetuju, dan kami telah menyenaraikannya dalam skuad."
India dijadualkan menentang Maldives dalam aksi persahabatan pada 19 Mac, sebagai persediaan menghadapi perlawanan kelayakan Piala Asia menentang Bangladesh pada 25 Mac.
Bola sepak masih bergelut untuk mendapat tempat di hati 1.4 bilion penduduk India, di mana sukan itu sering dibayangi obsesi negara tersebut terhadap kriket.
Bekas Presiden FIFA, Sepp Blatter, pernah menggelar India sebagai "gergasi tidur" dalam arena bola sepak.
Chhetri merupakan ikon sukan di India yang terkenal dengan kegilaan terhadap kriket.
Penyerang bertubuh kecil setinggi 1.7 meter (5 kaki 7 inci) itu membuat penampilan sulungnya menentang musuh tradisi, Pakistan, pada 2005 dan menjaringkan satu-satunya gol India.
Chhetri pernah beraksi secara singkat di Portugal dan Amerika Syarikat, namun sebahagian besar kariernya dihabiskan di India.
Pada 2009, beliau ditawarkan kontrak oleh kelab Queens Park Rangers di liga divisyen dua England, namun gagal memperoleh permit kerja.-AFP