SEREMBAN, 7 Mac-Dua remaja maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di sini malam tadi (Khamis).
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, dalam nahas pukul 8.30 malam itu, penunggang dan pembonceng motosikal berumur 15 dan 16 tahun maut di lokasi kejadian.
Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu oleh seorang remaja lelaki berusia 18 tahun bersama seorang penumpang lelaki berusia 17 tahun gagal berhenti di lampu isyarat sebelum melanggar dua buah motosikal yang datang dari arah sebelah kiri.
Akibat daripada kemalangan, penunggang dan pembonceng motosikal tersebut mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Sementara pemandu dan penumpang kereta serta penunggang dan pembonceng motosikal jenis Honda Vario mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk rawatan lanjut.
Kedua-dua mayat mangsa penunggang dan pembonceng motosikal yang maut telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Rembau untuk urusan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
Kes disiasat di bawah Sek 41(1) APJ 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.