fb fb fb fb fb

SUKNES kembali dengan penglibatan 36 DUN

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Utama Aminuddin Harun

SEREMBAN, 16 Januari - Selepas enam tahun menyepi, Kejohanan Sukan Negeri Sembilan (SUKNES) kembali diadakan pada tahun ini dengan penglibatan 36 Dewan Undangan Negeri (DUN), yang diakhiri pertandingan di peringkat negeri. 

Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Utama Aminuddin Harun kali ini pelaksanaan di peringkat DUN terlebih dahulu bakal merealisasikan hasrat mewujudkan kesedaran sukan dalam kalangan masyarakat.

Ini selain menjadi platform untuk melahirkan atlet terbaik anak Negeri Sembilan bagi mewakili kejohanan diperingkat kebangsaan dan antarabangsa. 

"Kita hendak orang Negeri Sembilan terlibat dengan sukan walaupun dalam satu bidang sukan, jadi itu harapan kita dan itu saya rasa Exco Belia dan Sukan telah menyatakan untuk membudayakan sukan ini perlu bermula  dengan semua peringkat dan Alhamdulillah kita bermula dengan peringkat akar umbi .

"Dan saya berharap bahawa kesungguhan daripada kerajaan negeri melalui exco pastinya akan menjadikan sukan ini sebagai satu tumpuan kita untuk disamping kita memajukan negeri, kita mahu sukan ini berjaya di Negeri Sembilan ini," kata Aminuddin kepada media dalam Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan bersempena Sukan Negeri Sembilan Tahun 2024 kepada ADUN di Wisma Negeri, Seremban.

Dalam pada itu RM10,000 turut diperuntukkan bagi setiap DUN untuk menyertai empat acara sukan yang dipertandingkan iaitu Badminton, Bola Jaring, Futsal dan Sepak Takraw.

SUKNES bakal berlangsung bermula 27 hingga 28 Januari ini dan 3 hingga 4 Februari depan diperingkat DUN manakala kemuncaknya pada 16 hingga 18 Februari diperingkat Negeri dengan penyertaan peserta berusia 16 tahun ke atas.

TETITIA YUSOFF