fb fb fb fb fb

SUKMA XXI: Melaka raih dua emas wushu

Melaka mengutip dua emas menerusi acara wushu di SUKMA XXI Sarawak 2024.

KUCHING, 14 Ogos - Melaka mendahului kedudukan pingat selepas mengumpul dua pingat emas dengan Wushu menjadi penyumbang utama hari ini.

Kilauan pingat itu hadir menerusi Bryan Ti Kai Jie dalam saingan nanquan lelaki.

Lebih membanggakan itu juga adalah pingat emas pertama Sukma 2024.

Manakala pingat emas kedua Melaka diraih menerusi atlet wushu Tan Pei Ler dalam acara nanquan wanita.

Pencapaian dua emas negeri itu dalam saingan wushu hari ini membolehkan mereka mendominasi hari pertama saingan dengan baik.

Beliau meraih pingat emas pertama temasya edisi ke-21 itu dengan keseluruhan 9.600 mata menewaskan Foo Mun Fei dari Perak dengan perbezaan 0.04 mata manakala gangsa jadi milik atlet tuan rumah, Sarawak, Fung Tai Leong.

Bryan yang juga atlet kebangsaan mendedahkan dia berdepan sedikit tekanan ketika saingan akhir namun dapat menghadapinya dengan baik.

Skuad wushu Sarawak menyinar raih satu emas

Turut menjadi perhatian kontinjen tuan rumah, Sarawak yang berkongsi kedudukan pingat di tempat kedua bersama Pulau Pinang dengan satu emas, satu perak dan satu gangsa.

Pingat emas Sarawak diperoleh menerusi atlet wushu Stephanie Ngu Chai Ern dalam acara changquan wanita.

Esok saingan wushu akan terus menjadi tumpuan dengan lapan pingat emas bakal jadi rebutan.

GRACE AISYAH KEDAYAN