SEMATAN, 12 Mei- Sarawak akan mengeluarkan senarai akhir atletnya yang akan membawa cabaran dalam temasya Sukan Malaysia SUKMA Ke-21 selewat-lewatnya Julai depan.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata setakat ini pihaknya mempunyai lebih 1,000 nama atlet yang tersenarai dan mengambil masa untuk membuat senarai pendek berikutan prestasi cemerlang yang dipamerkan oleh kesemua atlet.
Namun, jelasnya atlet yang tidak tersenarai masih diperlukan sebagai sokongan kepada atlet-atlet yang akan berentap pada acara masing-masing.
Katanya, satu kem latihan pusat akan diadakan selepas perayaan Hari Gawai Dayak untuk para atlet menyesuaikan diri dengan fasiliti sukan bagi acara masing-masing di semua bahagian di negeri itu..
Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Penutupan Sarawak Warrior Camp bersempena SUKMA Ke-21 di Kem Putra Sentosa Sematan.
Dalam perkembangan yang sama Datuk Gerald menyeru atlet agar terus yakin, komited dan menggunakan peluang yang ada ketika beraksi di gelanggang sendiri bagi meletakkan Sarawak di kedudukan teratas pada temasya sukan itu nanti.
Sementara itu , Sarawak Warrior Camp itu yang diadakan pada dua fasa iaitu Fasa 1 bermula 6 hingga 9 Mei manakala Fasa 2 pada Khamis lepas sehingga hari ini yang melibatkan 537 atlet dan 34 acara sukan.
Ia diadakan bertujuan meningkatkan semangat berjuang dan memantapkan jati diri atlet.